Tuesday, April 28, 2009

Mahasiswa bukan 'budak sekolah'



Semua pihak termasuk institut pengajian tinggi awam (IPTA) diminta agar tidak melayan mahasiswa sebagai 'budak sekolah.'

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah sebaliknya mahu mahasiswa diberi layanan seperti 'orang dewasa' bersesuaian dengan status mereka sebagai pelajar institusi pengajian tinggi.

Beliau berkata, layanan seperti 'budak sekolah' tidak lagi dapat diterima mahasiswa sedangkan hakikatnya mereka telah mencapai usia matang.

''Berbeza dengan murid dan pelajar sekolah, kematangan serta persekitaran mahasiswa di universiti sebagai gedung ilmu telah mendidik mereka menjadi seorang yang intelektual dan mampu membuat keputusan sendiri.

''Mereka juga kebanyakannya tidak lagi tinggal dengan ibu bapa dan tidak perlu memakai pakaian seragam. Semua itu melayakkan mereka dilayan sebagai golongan yang telah dewasa," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Kolej Teknologi Yayasan Pendidikan Cheras (YPC)-iTWEB di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi YPC, Senator Datuk Syed Ali Alhabshee.

Seramai 140 graduan kolej itu dianugerahkan Diploma Teknologi Informasi Perniagaan pada majlis tersebut.

Ditanya mengenai layanan 'budak sekolah' yang dimaksudkan, Saifuddin berkata, beliau menerima beberapa rungutan daripada mahasiswa yang mendakwa mereka tidak dibenar melakukan perkara yang sepatutnya boleh dilakukan.

''Di sesetengah tempat, mahasiswa masih tidak diberi keizinan melakukan aktiviti-aktiviti tertentu meskipun Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) telah dipinda tahun lepas.

''Kononnya, mereka dibimbangi akan menyalah guna kebebasan yang diberi. Ini adalah pemikiran takuk lama yang harus kita kikis. AUKU itu sendiri dipinda bagi memastikan mahasiswa di negara ini diiktiraf sebagai mahasiswa sebenar," katanya.

0 comments:

Post a Comment