Wednesday, September 16, 2009

Perutusan Hari Raya Aidilfitri MPP Pro Kebajikan PERUTUSAN HARI RAYA EIDUL FITRI 2009/14230H

MPP PRO KEBAJIKAN UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS

Assalamualaikum wbrkth dan Salam Kebajikan,

Segala puji dan syukur kepada Allah, Tuhan sekalian alam di atas segala nikmat dan rahmat yang telah dianugerahkan kepada kita selaku para hambaNya yang diberi kemudahan untuk berada dibumi Universiti Pendidikan ini. Tasbih, tahmid dan istighfar kita ucapkan bagi menyucikan segala dosa,noda dan kekurangan diri kita yang tidak pernah lekang dari kecuaian serta kemaksiatan kepada-Nya.


Selawat dan salam kita lafazkan khusus untuk junjungan besar Rasulullah sallallhu alaihi wasallam, Nabiyyul Rahmah, petunjuk kepada mereka yang rindukan hidayah, inginkan salamah,juga berkat di dunia dan akhirat.


Sahabat-sahabat dan seluruh warga Universiti Pendidikan Sultan Idris yang dikasihi,

Selamat menyambut Aidulfitri dari kami barisan MPP Pro-Kebajikan UPSI. Hari kemenangan bagi ahli-ahli ibadah yang telah berjaya kembali kepada fitrah setelah tiga puluh hari melatih nafsu buas untuk menjadi muthmainnah (tenang/tunduk) dan juga menjadi orang-orang yang bertakwa.


Dalam detik masa yang penuh berharga dan barakah ini marilah kita sama-sama merenung sejenak hari-hari yang telah berlalu dalam bulan yang penuh mulia yang telah kita lalui bersama-sama di Universiti Pendidikan tercinta ini.

Bersama kita bersyukur sekiranya kita berjaya mendidik jiwa kita ke arah yang lebih baik dari sebelumnya. Sudah pastinya, latihan tadarrus al-Quran, tarawih berjamaah, majlis ilmu dan qiam ditengah malam menjadi kenangan manis bulan ramadhan dibumi UPSI yang tercinta ini, yang tidak akan dapat dilupakan oleh kita semua dan sayugia jangan dilupakan pada hari-hari yang mendatang.

Bersama kita ishtighfar, jikalau ruang masa di bulan Ramadhan ini hanya diulit tidur panjang yang lena, kata-kata yang tidak bermakna atau sekadar mengisi perut yang lapar di waktu berbuka. Apatah lagi membuat dosa. Kami memohon ampun dari-Mu ya Allah.

Rakan-rakan mahasiswa dan seluruh warga UPSI sekalian,

Perjuangan menuntut ilmu di bumi Universiti Pendidikan Sultan Idris ini penuh dengan duka lara. Sentiasa teringatkan suasana permai desa dan senyum tawa ibunda dan ayahanda. Manis riang juga timbul sekali sekala ketika bersama-sama sahabat tercinta yang menjadi anggota keluarga di mana-mana jua. Sudah menjadi lumrah dunia mahasiswa. Al-Imam al-Syafei berkata ilmu tidak akan dapat dicapai melainkan dalam keadaan susah dan derita. Maka marilah kita sama-sama menggunakan peluang keberadaan di kampung halaman untuk memohon maaf kepada kedua ibu-bapa, kaum kerabat, sahabat-sahabat dan seluruh umat Islam amnya.


Bagi yang tidak pulang, bersabarlah. Di hari raya ini usahlah banyak kita melayan perasaan sedih teringatkan ayah bonda dan sanak saudara dikampung atau yang telah pergi. Banyakkan bertakbir dan hayatilah roh hari raya yang diajarkan oleh agama kita. Hari raya ialah hari kemenangan bagi seluruh umat Islam. Keperitan dan mehnah yang dilalui di Universiti Pendidikan ini kadang-kadang diperlukan oleh kita untuk menjadi matang juga mengenal kehidupan. Islam dalam sejarahnya yang agung juga tidak terlepas dari dikunjung ujian dan dugaan.
Jagalah Keselamatan Diri dan Berhati-hati Bagi yang Memandu

Menyedari dan menginsafi tanggungjawab kami selaku kepimpinan pelajar UPSI, kami dengan rendah hati memohon sahabat-sahabat mahasiswa berhati-hati dan senantiasa menjaga keselamatan diri tatkala pulang dan datang dari kampung. Bagi yang menaiki bas terutamanya yang terpaksa menaikinya di KL, berwaspadalah dan bawalah teman seiring semasa perjalanan ke Kuala Lumpur. Senantiasa prihatin terhadap barang-barang penting seperti lab top, dompet dan sebagainya agar tidak tercicir.
Bagi yang memandu kenderaan sama ada kereta atau motorsikal, berhati-hatilah ketika memandu dan pastikan kenderaan sahabat selamat dan berada dalam keadaan baik sebelum meneruskan perjalanan pulang. Jangan memandu dengan tergesa-gesa, bersabarlah dijalan raya. Moga-moga kita dilindungi Allah dari musibah.
Kirimkan Ucapan Salam Aidilfitri Dari Kami
Kami barisan MPP Pro-Kebajikan ingin memohon sahabat-sahabat mahasiswa sekalian untuk menyampaikan ucapan salam eidulfitri buat ayahanda dan ibunda tercinta dan tidak lupa juga buat sanak saudara dikampung. Sampaikanlah ucapan selamat sejahtera dan salam kemenangan dari kami teman seakidah dan se-Islam sahabat sekalian.
Mohon Kemaafan dari Segala Kesilapan,
Akhir kalam, cukuplah sekadar itu dari kami barisan MPP Pro-Kebajikan. Kami dengan rendah hati memohon kemaafaan dari seluruh sahabat-sahabat mahasiswa dan seluruh warga Universiti Pendidikan Sultan Idris yang dicintai ini atas segala kesilapan dan kekurangan kami disepanjang tahun sebelum ini. Moga-moga dengan kemaafan diberikan kita dapat mengeratkan lagi hubungan persahabatan atas nama Islam.
Marilah kita doakan semoga Ramadhan yang telah kita lalui benar-benar diterima oleh Allah s.w.t sebagai bekalan kita di hari akhirat kelak. Sambutlah Hari Raya pada kali ini dengan penuh rasa keinsafan dan syukur yang tidak terhingga kepada Tuhan. Sesungguhnya nikmat Allah yang dianugerahkan tidak bertepian. Gunakanlah hari raya ini untuk kita mengukuhkan lagi ukhuwwah dan persaudaraan antara kita semua dan berusahalah untuk kita menjadi Ummatan Wahidah Fil Amal al-Islami (umat yang bersatu dalam amal Islam.

Salam Aidulfitri,


Akmal b. Madzir
Norhafizawati bt. Mahmad Rozali
Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPPUPSI 08/09)

Arif b. Mohamad
Nur Aqilah Hanis bt. Mohd Yusoff
(Exco Akademik dan Kerjaya MMPUPSI 08/09)

Mohd Zulhilmi b. Mohamad
Adriyani bt. Yamin
Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan MPPUPSI 08/09)

Norhisyam b. Che Hamid
Mohd Hanif Hazwan b. Ab. Rahman
( Exco Kesenian dan Kebudayaan MPPUPSI 08/09)
Read more!

Thursday, September 10, 2009

Menjayakan 'revolusi pendidikan'

KITA sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan untuk melangkah sebagai sebuah negara maju dalam acuan sendiri pada masa depan. Kita menyedari perjalanan untuk mencapai kejayaan bertaraf dunia masih jauh dan bukanlah mudah;

namun saya yakin kita boleh melakukannya dengan izin Allah SWT dan jika kita terus bersikap positif, ikhlas dan gigih untuk menjayakannya. Kerana itulah, saya amat percaya bahawa perubahan minda itu menjadi satu perkara yang sangat dituntut untuk mencapai kejayaan.

Semasa saya diberi kepercayaan untuk memimpin negara, perubahan-perubahan dalam sektor pendidikan memang sentiasa menjadi agenda utama saya dalam konteks melahirkan modal insan untuk memajukan negara. Pada masa itu saya percaya bahawa kita memerlukan tidak kurang dari suatu 'revolusi pendidikan' demi memastikan aspirasi kita untuk menerapkan pencapaian baru kesemua sektor tidak terbantut oleh ketidakmampuan kita membangun modal insan yang sepadan dengan tanggungjawab serta cabaran masa mendatang.

Dua lagi perkara penting telah kita lakukan dalam tempoh berkenaan dalam usaha memacu sektor pendidikan ke arah yang lebih cemerlang. Pertamanya kita berfokus dalam melonjakkan pencapaian dengan menubuhkan kementerian yang berasingan iaitu Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Keperluan untuk mendapat tenaga kerja bagi pembangunan negara telah membanyakkan lagi bilangan sekolah-sekolah di bandar dan di luar bandar. Institusi-institusi latihan perguruan juga telah melahirkan ramai guru. Dari awal lagi dan khususnya semasa saya menjadi Perdana Menteri, saya telah menekankan betapa pentingnya pembangunan modal insan yang berkualiti tinggi dan mempunyai 'minda kelas pertama'.

Globalisasi dan liberalisasi ekonomi telah mengubah landskap serta ekosistem pengajian tinggi secara drastik. Cabaran dalam pengajian tinggi menuntut perubahan secara dinamik bagi pembentukan kurikulum, kaedah pengajaran, perluasan akses dan mobiliti pengetahuan, memenuhi keperluan kualiti dan piawaian antarabangsa serta pencapaian hasil penyelidikan dan inovasi. Maka untuk menjayakan 'revolusi pendidikan', beberapa langkah berikut perlu diambil:

Pertama, menerap nilai-nilai luhur melalui pendidikan. Sebuah masyarakat yang memiliki minda kelas pertama adalah masyarakat yang berilmu pengetahuan dan berdaya saing, dan mempunyai budaya pencapaian tinggi (high performance), berintegriti dan mempunyai nilai-nilai moral yang tinggi.

Institusi pendidikan kita mesti membangunkan minda kelas pertama di kalangan generasi muda supaya mereka boleh membawa negara ini bergerak maju dengan jayanya dalam abad ke-21. Institusi-institusi pendidikan perlu menerapkan nilai-nilai integriti, jujur, semangat untuk berkongsi dan prihatin di kalangan pelajar.

Kedua, universiti berfungsi sebagai pusat untuk pembangunan 'jiwa dan minda'. Mahatma Gandhi pernah berkata, "education means all-round drawing out the best in child and man - body, mind and spirit". Sebenarnya, pendidikan perlu membangunkan kesemua yang terbaik dari aspek moral, mental dan emosi bagi seseorang manusia. Disebabkan pendidikanlah asas-asas untuk keamanan dan kemakmuran dapat dibina.

Selain mengajar ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang akademik, sistem pendidikan kita juga perlu menekankan kepada pembangunan moral dan sifat-sifat beretika bagi pelajar-pelajar. Mana-mana sistem pendidikan yang kekurangan pembangunan moral dan etika tidak boleh dianggap lengkap.

Pengajian tinggi kita harus berupaya mengubah persepsi yang ada, iaitu melihat universiti sebagai alat dan mekanisme untuk mengeluarkan sumber manusia yang mempunyai segulung ijazah dan berpuas hati dengan menjadi teknokrat dan ahli industri yang berjaya; sebaliknya jiwanya kosong, hanya mementingkan diri sendiri, dan melihat keuntungan jangka pendek sedang kecintaannya kepada negara dan bangsa amat kurang, malah ada yang langsung tidak ambil peduli.

Ketiga, mengukuhkan dan memajukan perpaduan dan integrasi dalam pendidikan. Jikalau kita benar-benar serius untuk menjadi lebih kompetitif, dan jika kita benar-benar ingin membina masyarakat yang stabil dan aman, maka kita perlu bukan sekadar meningkatkan mutu pendidikan di institusi pengajian tinggi tetapi kita harus juga meningkatkan tahap integrasi nasional. Keadaan integrasi antara kaum dan persefahaman di institusi pendidikan kita pada hari ini adalah suatu yang membimbangkan.

Institusi pendidikan kita pada hari ini makin menjadi mono-racial. Walaupun sesuatu institusi itu dianggap multi-racial atau berpelbagai kaum, apa yang kita lihat adalah wujudnya "klik klik" perkauman.

Saya percaya bahawa untuk mewujudkan negara Malaysia yang benar-benar kuat, kita perlu teguhkan ikatan dan kerjasama di antara kita serta mengeratkan lagi persefahaman sesama kita. Kita harus sedar serta menerima perbezaan di antara kita dan membina atas kekuatan serta persamaan antara kita.

Keempat, membina keupayaan berasaskan kelebihan yang negara miliki. Kita bukan hanya perlu fokus dan mengikuti bidang-bidang yang telah dibangunkan di negara-negara Barat tetapi kita perlu mencipta dan meningkatkan kemahiran dalam bidang-bidang yang boleh dipelopori Malaysia dan boleh mendahului dunia. Kita perlu membina berasaskan kekuatan kita.

Saya percaya bahawa menerusi ekosistem pra-sekolah, sekolah dan seterusnya pengajian tinggi yang terancang dengan kemas dan menyeluruh, kita akan berupaya menterjemahkan objektif untuk melahirkan modal insan minda kelas pertama yang mampu menggunakan pengetahuan secara kreatif, inovatif selaras dengan model ekonomi baru yang diperkenalkan pada masa kini.

Saya percaya kita sudah mempunyai cukup ramai para cendekiawan yang berupaya bergerak pantas seiring dengan keperluan masa depan negara, agama dan bangsa. Setelah 52 tahun merdeka dengan lebih 20 buah universiti awam dan begitu banyak institusi pengajian tinggi swasta, seharusnya kita telah mampu menjadi pemimpin ilmu yang dapat memberikan sumbangan utama kepada negara.

Malah ahli-ahli akademik seharusnya berupaya untuk menjadi pemimpin dalam pelbagai disiplin ilmu dan mampu pula menarik ahli-ahli akademik luar untuk berkunjung dan merujuk kepada kita. inilah yang harus kita fikirkan bersama, tentang sejauh mana keupayaan kita sehingga kini dan apakah pula kekangan yang ada bagi melonjakkan pengajian tinggi kita ke tahap yang jauh lebih bermakna.

Begitu juga dengan keupayaan kita dalam melakukan penyelidikan-penyelidikan bertaraf dunia bagi menyelesaikan masalah semasa, terutamanya yang boleh pula dikongsi dengan rakan-rakan di negara lain di seluruh dunia.

Kejayaan yang kita inginkan perlu diusahakan dengan serius. Dengan itu kita perlu mengukur pencapaian kita dari semasa ke semasa. Saya yakin kepada kemampuan dan kebolehan kita, dan percaya bahawa kita mampu untuk berbuat demikian selagi kita mahu bekerja keras dan bersikap ikhlas. Ini adalah satu perjuangan panjang dan jihad besar dalam memastikan kejayaan kita pada masa depan.

Hari ini, saya bersyukur dan menjunjung tinggi penganugerahan ijazah kehormat ini. Bagi saya USM amat istimewa, dengan motonya 'kami memimpin' yang harus membolehkannya untuk membawa masyarakat dan negara ke hadapan dengan memartabatkan ilmu pengetahuan serta mengubah paradigma yang ada. Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada universiti atas ulang tahun ke-40nya dan mendoakan agar USM akan terus berjaya menjadi antara yang tersohor di dunia.

http://www.utusan.com.my..

10 September 2009 / 20 Ramadan 1430
Read more!